27 MAC — Pilihan raya bukan musim tabur janji kosong untuk tarik sokongan
Sehingga 16 April 2011 nanti, perhatian tertumpu ke Sarawak kerana di Bumi Kenyalang itu menjalani proses untuk menentukan hak rakyat - pilihan raya. Sejak Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dibubar Isnin lalu hinggalah ke hari mengundi nanti, pelbagai aktiviti politik akan berlaku. Tidak dapat dielakkan apa juga tindakan dan keputusan, akan dikaitkan dengan kempen pilihan raya. Bagi kerajaan Barisan Nasional (BN) apa juga pengumuman khasnya peruntukan untuk melaksanakan sesuatu program untuk faedah rakyat akan dipandang sinis kononnya sebagai umpan meraih undi, sedangkan ini adalah aktiviti sepanjang masa. Sama ada musim pilihan raya atau tidak, ada saja peruntukan untuk rakyat diturunkan. Ini bukan perkara baru dan tidak sepatutnya menjadi isu dalam sebuah kerajaan yang menjadikan 'rakyat didahulukan' dalam moto pentadbirannya. Dalam pilihan raya, parti politik atau setiap individu yang bertanding akan menggunakan cara tersendiri untuk meraih undi. Selagi tidak melanggar peraturan mereka bebas berkempen, malah bentuk kempen di negara ini boleh dianggap lebih bebas daripada negara maju seperti Amerika Syarikat berasaskan isu yang dibangkitkan. Di Malaysia tidak ada isu yang dilarang hinggakan isu mahkamah yang biasanya boleh dianggap menghina mahkamah juga dicakapkan secara terbuka. Setiap kawasan pilihan raya juga dikunjungi ramai pemimpin politik untuk membantu calon yang mewakili parti masing-masing. Dalam suasana pilihan raya, setiap orang yang mempunyai kecenderungan politik membabitkan diri dalam proses untuk memilih kerajaan negeri yang baru. Setidak-tidaknya mereka menjadi ejen untuk mempengaruhi keluarga dan rakan-rakan untuk mengundi calon atau parti yang dianggapnya lebih baik. Kerajaan Negeri pimpinan Tan Sri Abdul Taib Mahmud mengharapkan rakyat memberi mandat baru kepada BN bagi kesinambungan usaha memajukan negeri dan rakyat Sarawak.
Seperti biasa juga dalam setiap pilihan raya, ramai pengkaji termasuk dari universiti, organisasi dan institusi kajian akan menjalankan pelbagai kajian dan penyelidikan berhubung pilihan raya kali ini. Kajian seperti ini amat penting untuk dijadikan perbandingan atau panduan masa depan. Topik kajian biasanya mengikut matlamat, perspektif dan dimensi berasaskan hipotesis kajian masing-masing.
Ada kajian yang mahu melihat kecenderungan atau pola kecenderungan pemilihan pengundi, pemilihan berasaskan populariti parti atau calon, trend pengundi muda, sokongan pengundi mengikut kaum atau agama, jantina, bentuk kempen, pengaruh media, impak media baru dan sebagainya.
Kemuncak penemuan kepada kajian bergantung kepada keputusan pilihan raya yang akan diketahui pada malam 16 April nanti. Walaupun kemenangan dalam sesuatu pilihan raya bergantung kepada banyak alasan politik dan bukan politik, tidak dapat dinafikan cara meraih undi dalam tempoh berkempen sejak hari penamaan calon 6 April hingga hari mengundi, akan menjadi penentu segala-galanya. Setiap usaha yang dijalankan adalah untuk mendapatkan undi mereka yang berada di atas pagar, yakni mereka yang belum membuat keputusan. Keputusan undi mereka hanya ditentukan di saat-saat akhir. Bagi mereka yang sudah membabitkan diri dalam parti politik, undi mereka akan pergi kepada calon atau parti yang mereka wakili. Ini sudah diramalkan. Mungkin pengecualian boleh diberikan pada pilihan raya 2008 apabila ramai penyokong BN sendiri menguji kerajaan. Keadaan sudah pulih semula. Di Sarawak, rakyat sudah terdedah kepada pelbagai maklumat politik menerusi media tradisional dan media baru dan kini media sosial. Semua ini menimbulkan minat pengkaji untuk mengetahui faktor kemenangan atau kekalahan dalam pilihan raya. Parti-parti politik pastinya menggunakan sepenuhnya waktu berkempen yang dibenarkan oleh undang-undang. Tujuan kempen adalah untuk mempengaruhi pemikiran pengundi supaya menyokong mereka. Walaupun parti-parti bertanding sudah pun menjalankan kegiatan politik mereka sepanjang masa, mungkin sejak sebaik berakhirnya pilihan raya yang lalu lagi, tapi dalam tempoh 10 hari terakhir itu akan menentukan segala-galanya.
Itulah sebabnya jentera pilihan raya digerakkan secara maksimum dalam tempoh berkenaan. Ini dilakukan walaupun parti sudah pun bekerja dan berdamping dengan rakyat sepanjang masa. Namun, parti yang bertanding tidak boleh leka dan terlalu yakin dengan sokongan rakyat. Kelekaan akan menyebabkan parti lawan mengambil kesempatan. Dari segi konteks dan hubungan dengan rakyat, BN mempunyai kelebihan berbanding parti pembangkang. Pemimpin BN sepanjang masa menganjurkan program dengan rakyat. Pengumuman untuk membela nasib mereka, melengkapkan segala kemudahan yang mereka perlukan dilakukan oleh parti kerajaan. Malah, rakyat tahu apa yang mereka lakukan.
Berbeza dengan pembangkang, mereka hanya datang dan bertemu rakyat apabila pilihan raya diadakan dan kemudian menabur janji. Jika pilihan raya lima tahun sekali, mereka hanya akan muncul lima tahun sekali. Disebabkan mereka tidak mempunyai modal pembangunan, parti pembangkang biasanya akan membangkitkan isu sejagat seperti kebebasan, keadilan, hak asasi dan sebagainya untuk menggambarkan kerajaan yang zalim. Mereka cuba menyamakan keadaan negara ini dengan negara lain yang bermasalah sedangkan Malaysia adalah antara negara di dunia yang aman dan bebas daripada konflik yang boleh menjejaskan keselamatan. Keadaan ini menjadikan amat sukar bagi pembangkang untuk mempengaruhi pemikiran rakyat Sarawak supaya mengubah pendirian dan menyokong mereka, apatah lagi percubaan PAS untuk mengubah pendirian penduduk Sarawak.
Hubungan antara pemimpin dan penyokong BN dengan rakyat terjalin sekian lama. Pemimpin BN dan rakyat sentiasa berhubung antara satu dengan yang lain melalui pelbagai cara. Hubungan di kalangan pimpinan negeri, parti dan rakyat adalah mesra. Pemimpin BN dan rakyat bukan sekadar bertemu muka tetapi menyelesaikan masalah mereka. Pembangkang datang sekadar untuk bersalaman. Pembangkang khasnya dari Semenanjung datang ke Sarawak membawa pelbagai beban baru. Mereka menghasut rakyat dan membuat tuduhan yang tidak dilengkapi fakta.
Pemimpin BN sudah lama menggunakan komunikasi bersemuka dengan rakyat walau di ceruk mana sekali pun. Hasil pertemuan sebeginilah kita lihat sekarang ini rakyat Sarawak mendapat segala-galanya. Bolehkah pembangkang menyediakan sekolah untuk mendidik rakyat Sarawak? Jangankan membina sekolah, pembangkang tidak mampu pun membayar gaji guru yang mengajar anak-anak. Sarawak adalah sebuah negeri yang luas dan penduduknya bertaburan. Namun, dalam keadaan yang sukar dari segi logistiknya, namun pembangunan tetap sampai sekali pun di kawasan pedalaman. Kerajaan melakukan semua ini kerana sedar bahawa rakyat adalah pengundi yang akan membuat keputusan.
Di Sarawak, banyak kumpulan kecil rakyat mengikut etnik masing-masing. Walaupun di satu-satu kawasan penempatan, bilangan mereka kecil mereka tetap tidak diabaikan. Walaupun kecil tapi mereka boleh mewujudkan sinergi yang besar dengan mengambil kira gabungan etnik di negeri itu. Jika salah satu etnik bangkit, ia boleh membangkitkan etnik yang lain pula. Sinergi kumpulan merujuk kepada idea 'nasib yang sama'. Sinergi di kalangan etnik ini juga mampu membuat keputusan berkualiti - menyokong kerajaan yang membela nasib mereka. Dengan mengambil pendekatan inklusif, kerajaan BN lebih diyakini di Sarawak. Pendekatan inklusif turut mengambil kira setiap kumpulan sosial - dari orientasi unit sesebuah keluarga kepada kelab sosial dan organisasi. Setidak-tidaknya kumpulan ini menunjukkan ciri-ciri perpaduan dan seterusnya membina keyakinan diri. Ini penting untuk BN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan