Ahad, 27 Mac 2011

Cabaran di Telang Usan

Dr Jeniri Amir

Jika anda pernah berkunjung ke kawasan Baram, pasti anda akan tahu betapa sukarnya pergi ke kawasan pedalaman berkenaan. Kawasan kediaman Orang Ulu itu begitu mencabar untuk diharungi dan dijejaki kerana saiz geografinya yang luas, sebesar Pahang, dan muka buminya yang bergunung-ganang dan diliputi hutan rimba.
Bagi kaum Penan, Berawan, Saban atau Kayan, hidup dalam keadaan sedemikian adalah suatu kebiasaan sejak zaman-berzaman. Tidak hairanlah pada 2006, Telang Usan mencatatkan rekod peratusan pengundian terendah, iaitu hanya 57.94 peratus.
Namun, ini bukanlah pula bermakna mereka tidak tahu akan hak mereka sebagai pengundi. Jika tidak percaya cuba pergi ke Long Bedian, Tutoh Apoh dan seumpamanya. Mereka tahu akan perkembangan isu semasa kerana sebahagian mereka menonton siaran Astro, termasuk Astro-Awani yang mengupas isu politik negara dan negeri ini, terutama menjelang pilihan raya ke-10 pada 16 April nanti.
Berjalan kaki berjam-jam
Bagi orang Penan paling hulu, menjadi bebiasaan mereka berjalan kaki berjam-jam. Jika anda hendak pergi ke Ba Purau, kawasan pedalaman terletak di Telang Usan, cuba naiki kenderaan empat roda dari Miri yang mengambil masa lapan jam ke Long Jekitan, dan dari situ anda perlu berjalan kaki lagi selama enam jam mengharungi denai dan hutan rimba. Bagi kita yang tidak biasa hidup di dalam hutan dan menjejaki denai, pasti mengambil masa sekali ganda.
Penduduk di kawasan Baram itu kecewa apabila janji membina jalan dari Beluru ke Lapok, yang sebenarnya di bawah kawasan Sylvester Entri, Ahli Dewan Undangan Negeri Marudi, tidak ditunaikan. Namun, tempiasnya terkena pada Lihan Jok, Ahli Dewan Undangan Negeri Telang Usan.
Keadaan jalan raya itu tidak berturap, malah berlubang-lubang, licin dan bertakung air pada waktu hujan, dan amat berbahaya dilalui kenderaan. Ada yang menyifatkannya sebagai jalan neraka dan jalan paling teruk di negara ini, kalaupun tidak di Asean.
Seorang pemandu yang biasa mengharungi jalan berkenaan menceritakan bagaimana sukar dan berbahayanya melalui jalan sedemikian. Beliau yang memandu kenderaan Hilux mendakwa bahawa kenderaan berharga sekitar RM80,000 itu hanya dapat bertahan selama tiga tahun. Perjalanan yang sepatutnya mengambil masa sejam memerlukan tiga jam kerana keadaan yang begitu teruk.
RM5,000 tarik kenderaan tersangkut
Bayangkan jika kenderaan itu tersekat di tengah jalan. Kos menarik kenderaan itu ke Miri mencecah sehingga RM5,000, bergantung sedalam mana kenderaan itu terbenam di dalam lumpur dan jarak ke pedalaman. Sesiapa pun tentu berdoa agar kenderaannya tidak rosak atau tersangkut di dalam lumpur ketika melalui jalan terbabit.
Bagi Orang Ulu, sudahlah keadaan jalan raya terlalu sukar, kadangkala keadaan memaksa mereka menempah kenderaan pacuan empat roda dengan bayaran RM800 sekali perjalanan, manakala bagi kawasan di hulu boleh mencecah RM1,000 apabila berlaku kecemasan. Kadar tersebut tentu menyulitkan mereka yang berpendapatan rendah dan dihimpit kemiskinan.
Sebahagian penduduk bekerja sebagai petani, kem pembalakan dan ladang kelapa sawit, manakala segelintir masih lagi mengutip hasil hutan. Berdasarkan tinjauan, inilah antara faktor kekecewaan pengundi dan penduduk di kawasan terbabit – yang pastinya akan dimanifestasikan di peti undi sehingga menyebabkan Telang Usan dikategorikan kawasan berisiko untuk Barisan Nasional.
Janji bina jalan belum ditunai
Ironinya, janji untuk membina dan menurap jalan itu sudah lama ditaburkan, sejak zaman Datuk Seri Samy Vellu menjadi Menteri Kerja Raya lagi. Kini, Samy pun sudah berundur daripada politik ekoran kekalahan dalam pilihan raya 2008. Persoalannya, sampai bilakah rakyat di situ dapat bersabar? Adakah sekali lagi kita pelru berjanji bahawa jalan berkenaan dan projek lain akan dilaksanakan?
Isu tanah adat bumiputera (NCR) tidak kurang hangat di Telang Usan, sama seperti di kawasan-kawasan lain, kecuali di sini, sebahagiannya membabitkan Petronas. Kerja membabitkan pemasangan batang paip untuk menyalurkan gas didakwa menceroboh kawasan tanah sesetengah penduduk. Sebahagian dikatakan menerima pampasan dan sebahagian lagi belum, dan golongan inilah yang mengambil tindakan melancarkan sekatan.
Memang sukar untuk memenangi hati pengundi yang berasa diri mereka tidak menerima keadilan, dipinggirkan atau keperluan mereka tidak dipedulikan.
Selagi masalah berkenaan tidak selesai,dan selagi isu membabitkan ketiadaan bekalan api dan air tidak dipenuhi, melibatkan sekitar 80 peratus penduduk, selagi itulah sebahagian mereka akan kecewa. Manusia yang kecewa tidak akan mahu lagi mendengar janji dan harapan.
Mereka mahu melihat projek atau janji berkenaan segera dilaksanakan, kerana mereka telah puas mendengar kata-kata manis. Selesaikan masalah pampasan tanah mereka. Atasi masalah kesihatan, kemiskinan dsn komunikasi, dan pos.
Lihan telah berusaha
Lihan, selama dua penggal telah berusaha mengikut kemampuan beliau. Beliau kerap turun padang dan faham akan masalah dan aspirasi penduduk, tetapi apakan daya keupayaan beliau juga terbatas. Lihan telah berusaha melaksanakan sekolah bestari di SK Long Bedian, tadika komuniti untuk anak Penan, projek e-kasih, iaitu projek menjejaki orang miskin dan projek penanaman getah.
Selain itu, beliau juga melaksanakan projek klinik kesihatan, pengagihan wang ihsan kepada penduduk yang layak menerimanya, penanaman kelapa sawit dan getah serta memperkenalkan pusat pemulihan dalam komuniti.
Kawasan Baram itu dikatakan mempunyai orang kurang upaya (OKU) paling tinggi di Sarawak dengan sebahagian mengalami ‘syndrome down’, lumpuh dan cacat anggota, didakwa sebahagiannya berpunca daripada amalan perkahwinan sesama anggota keluarga yang lumrah. Benarkah terdapat sekitar 300 OKU di kawsasan itu? Jika benar, kementerian terbabit perlu menjalankan kajian segera untuk mengenal pasti punca dan mengambil langkah membantu golongan berkenaan..
Kini, Telang Usan akan menyaksikan penampilan muka baru apabila Lihan Jok, wakil Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mengisytiharkan berundur. Dalam pilihan raya 2006 Lihan memperoleh 4,593 undi berbanding lawannya Kebing Wan darti Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP), meraih 1,822 undi dan calon Bebas Lidam Janang, 144 undi. Dengan itu, Lihan memperoleh 2,771 undi majoriti.
Cabaran bagi muka baru
Telang Usan memang mencabar dari segi politik sebagaimana mencabarnya persekitarannya. Kawasan ini sering
menggelegak di atas dada akhbar dan skrin televisyen termasuk di peringkat antarabangsa. Isu wanita Penan yang didakwa dirogol, pembalakan dan NCR, serta sekatan dilancarkan Penan terhadap syarikat pembalakan yang menceroboh kawasan NCR mereka pernah panas.
Pengunduran Lihan sebenarnya bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana sejarah wakil rakyat di kawasan Orang Ulu itu sering menyaksikan wakil rakyatnya tidak bertahan lebih daripada dua penggal. Lihan, mantan guru mulai memenangi kawasan itu pada 2001.
Sesiapa pun yang mewakili BN di kawasan itu perlu sedar akan sentimen akar umbi yang terpendam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan