Jumaat, 15 April 2011

“Abang Johari ketuai mandat baru BN Sarawak”

Datuk Seri Abang Johari Tun Openg khabarnya membatalkan semua ceramahnya di Dun Satok malam ini untuk menghadiri suatu pertemuan tertutup di Kuching.
Pertemuan anjuran Barisan Nasional pusat itu khabarnya turut dihadiri Datuk Seri Najib Tun Razak,perdana menteri merangkap Presiden United Malay National Organization (Umno).
Sumber Barisan Nasional memberitahu, pertemuan Abang Johari yang juga Timbalan Presiden PBB dengan Perdana Menteri Najib untuk membincangkan mengenai masa depan Barisan Nasional Sarawak sempena pilihan raya negeri Sarawak kali ke-10 yang dijadualkan berakhir pada 16 April ini. 
Turut dijemput beberapa Adun Barisan Nasional yang lain. Kebanyakannya dari PBB yang dilihat selesa dengan Abang Johari.
Tan Sri Alfred Jabu Numpang khabarnya tidak dijemput ke pertemuan tertutup itu walaupun beliau merupakan Timbalan Ketua Menteri Sarawak merangkap Timbalan Presiden I PPB.
Pertemuan tertutup itu antara lain akan membincangkan mengenai iltizam politik Barisan Nasional Sarawak untuk mempertahankan legasi Tan Sri Abdul Taib Mahmud selaku Ketua Menteri Sarawak yang sekaligus mempertahan tapak sokongan Barisan Nasional di negeri jolokan Bumi Kenyalang itu.
Sumber tersebut turut menafikan dakwaan pembangkang, khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) kononnya Najib merancang untuk mengambil alih jentera Barisan Nasional negeri di bawah Taib.
Najib, menurut sumber itu lagi sebenarnya sekadar mahu membantu Taib mempertahan dominasi Barisan Nasional dalam kerajaan negeri semata-mata.

Bagi Najib, konflik dalaman antara  ‘jentera Taib’  dan ‘jentera Barisan Nasional’  yang berpanjangan mesti dihentikan segera.
Konflik itu tidak termasuk nekad terbaru Taib sendiri untuk terus mengetuai kerajaan negeri untuk penggal 2010 hingga 2013.
Selepas 30 tahun memerintah Sarawak, mandat terbaru itu diterima Taib dalam persidangan PBB ke-12 semalam.
Mengambil kira semua ini, Najib sendiri ingin pemimpin Barisan Nasional negeri menilai semula mandat yang diberikan kepada Taib disamping menghormati mandat PBB yang sedia ada kepada Taib.
Jelas sumber itu lagi, pertemuan tertutup malam ini boleh dikatakan sangat penting kerana semua yang hadir akan turut menilai persepsi umum rakyat terhadap Taib sendiri.
Najib tidak mahu Taib menjadi mangsa korban gara-gara kempen ala-ala pembunuhan karektor yang dilakukan Pakatan Rakyat, khususnya Ketua Pembangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tersalah langkah, bukan sakadar menimpa peribadi Taib, bahkan mungkin mengakibatkan Barisan Nasional hilang satu lagi kerajaan negeri pada 16 April ini.
Kalau hilang kerusi itu, Najib bimbangi “Thunami Politik” itu akan memberi kesan berantai pada tapak sokongan Ahli Parlimen Barisan Nasional Sarawak di pilihan raya umum ke-13 kelak.
Kalau terlepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak,  “Thunami Politik”  itu tidak mustahil merebak ke negeri jiran, iaitu Sabah.
Sabah dan Sarawak sejak  “Thunami Politik”  8 Mac 2008 lalu adalah  “fix deposit”  bagi Umno untuk kekal mengepalai Barisan Nasional mempertahankan Putrajaya.
Semua ini dalam perkiraan Najib. Sumber itu memberitahu, Tun Dr Mahathir banyak menasihat Najib dalam hal ini.
Barisan Nasional boleh mengekalkan dominasi politik di Sarawak jika pasukan Taib Mahmud bersedia menerima nasihat langsung Najib dan Dr Mahathir.
Informasi Intelligence Military Officer (MIO) memberitahu, masuk hari ke-7 berkempen, Barisan Nasional masih di depan.
25 kerusi Barisan Nasional masih kukuh. Pakatan Rakyat yang bertanding di semua 71 kerusi DUN setakat ini berpotensi menang di 19 kerusi sahaja.
DAP, 11 kerusi. PKR, 7 kerusi. PAS mungkin  “bernasib”  untuk menang satu kerusi sahaja.
Taib sendiri mengetahui infomasi MIO ini. Barisan Nasional masih mampu mempertahankan dua pertiga majoriti di DUN Sarawak.
Maka, tidak menjadi isu kononnya majoriti rakyat di Sarawak protes pentadbiran Taib yang lewat 30 tahun tidak relevan kerana kondisi Barisan Nasional sekarang masih mampu mempertahankan dua pertiga majoriti.
Selebihnya, kekuatan Barisan Nasional adalah  “50-50″  dalam merebut kerusi DUN bersama Pakatan Rakyat dan konsesus BEBAS.
Demografi dan analisis sokongan rakyat secara terperinci khabarnya akan dibentangkan dalam pertemuan malam ini sebelum Barisan Nasional Sarawak, khususnya PBB bersepakat dalam mandat yang baru sama ada untuk mempertahankan legasi Taib atau membina legasi yang baru demi kepentingan bersama di negeri kaya hasil bumi tersebut.
Disebabkan itu, sumber itu menegaskan bahawa Najib bukan berniat membawa masuk Umno lalu menguasai wadah Barisan Nasional Sarawak.
Cerita Umno menguasai Sabah suatu ketika dulu disebabkan United Sabah National Organization (USNO) lemah dalam memimpin Barisan Nasional adalah kisah lama yang tidak relevan dalam konteks Sarawak sekarang.
Najib mahu PBB terus memimpin Barisan Nasional Sarawak.
Pertemuan tertutup malam ini jika bersedia mendapatkan mandat baru bagi menggantikan Taib, Abang Johari antara disebut-sebut mengetuai konsesus baru Barisan Nasional Sarawak.
Jika Barisan Nasional menang di Sarawak, mungkin nama baru untuk Ketua Menteri pun adalah Abang Johari.
Konsesus baru ini tetap mahu Barisan Nasional Sarawak dipimpin oleh PBB dan Najib bersedia merestui Abang Johari memimpin mandat baru itu.
.
Zainulfaqar Yaacob

Tiada ulasan:

Catat Ulasan