Jumaat, 15 April 2011

Kempen Akhir Di Satok Dicemar Risalah Haram PBB, Dakwa AMK

KUCHING 15 APRIL :  Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Md Akin mendakwa proses kempen yang dijadual berakhir 12 tengah malam ini tercemar dengan beberapa jenis risalah haram memburukkan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Justeru, Shamsul berkata beliau percaya parti Pusaka Bumiputera Bumiputera (PBB) mendalangi kempen secara kotor tersebut berdasarkan pengakuan seorang juvana yang ditangkap di Masjid Kampung Datu 6.

Juvana bawah umur itu katanya, mengaku sekadar mengambil upah dari seorang pemimpin muda PBB untuk menyebarkan risalah haram tersebut.


"Saya ingin melahirkan rasa kesal pada PBB...seorang kanak-kanak pakai topi BN (mengaku) diupah edar risalah-risalah ini.

"(Risalah-risalah haram tersebut) tiada cap atau terbitan mana-mana, kita tidak pernah terbit benda-benda ini.

"Mereka (PBB) kata, (risalah-risalah haram) ini Keadilan yang buat....(saya tegaskan) jangan tuduh. Kalau ada bukti, sila buat laporan polis," ujarnya di Bilik Gerakan AMK Dun Satok.

Beliau percaya, sebaran risalah haram bertujuan untuk memburukkan imej calon PKR di Dun Satok, Ahmad Nazib Johari yang disaingi oleh pemimpin tertinggi PBB Abang Johari, iaitu Timbalan Pesiden PBB merangkap menteri kanan dalam pentadbiran Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Nada yang sama turut disuarakan oleh Ahmad Nazib sendiri.

"Kita (AMK) lihat akhir-akhir ini banyak risalah fitnah oleh BN khususnya PBB...nampaknya mereka dalam keadaan terdesak," ujarnya.

Bahkan Ahmad Nazib yang juga Ketua AMK Sarawak turut tidak menolak kemungkinan bahawa kempen kotor itu demi memenangkan saingannya yang antara lain disebut-sebut sebagai calon Ketua Menteri Sarawak yang baru.

Melihat pada kempen kotor Barisan Nasional pada saat akhir tersebut, Shamsul turut memberi amaran kepada SPR supaya mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak yang mencemarkan proses pilihan raya negeri.

Dalam perkembangan yang lain, beliau turut menyeru pengundi muda, khususnya lebih 200,000 pengundi berdaftar di perantauan Semenanjung supaya pulang ke Sarawak untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan