Jumaat, 15 April 2011

Bangunkan Tanah Adat Di Sarawak, Hanya Gimik Politik Raih Undi

SHAH ALAM 15 APRIL : Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman menyifatkan tindakan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) sedia bekerjasama dengan kerajaan negeri Sarawak untuk membangunkan tanah hak adat bumiputera (NCR) sebagai cermin sikap golongan kapitalis untuk meraih keuntungan.
Namun hakikatnya yang terus menjadi mangsa demi kepentingan mereka ini ialah rakyat bawahan. 

Mazlan berkata demikian merujuk kepada rekod lampau agensi itu yang jelas gagal membangunkan tanah FELDA sebaliknya mengundang pelbagai kontroversi termasuk isu pembinaan Menara FELDA setinggi 50 tingkat yang bernilai RM640 juta.

"Pada dasarnya saya mengalu-alukan kepada mana-mana agensi kerajaan pusat yang mahu menjalinkan hubungan disudut pembangunan tanah tetapi saya tidak bersetuju dengan cadangan FELDA yang mana ingin membangunkan tanah NCR dengan kaedah peladangan.


"Kerana ia sudah cukup menjadi kontroversi yang mana tanah-tanah milik kerajaan negeri dibangunkan menerusi kaedah ini (peladangan) kita tidak nampak manfaat yang diperolehi secara total oleh anak negeri,"katanya kepada Tv Selangor.

Tambahnya, amalan pengurusan FELDA yang menghampakan peneroka antara punca pihaknya tidak setuju dengan cadangan tersebut.

"Anak-anak tempatan hanya sekadar buruh atau sebagai pekerja semata-mata, ini bermakna kita menghampakan anak negeri dengan memperlakukan mereka tidak lebih seperti warga asing seperti Indonesia, Nepal dan Bangladesh yang mana mereka hanya dibayar upah tanpa jaminan masa depan yang bergantung kepada hasil upah semata-mata,"katanya lagi.

Namun, Mazlan berkata pihaknya menyokong penuh sekiranya kaedah yang adil kepada semua pihak khususnya pengusaha, diaplikasikan.

"Kalau kaedah dengan memberikan tanah dan mereka (pengusaha tanah) mendapat pulangan dan mendapat hak milik atas tanah, kaedah ini kami alu-alukan,"jelas beliau.

Terbaru, Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata Felda sedia bekerjasama dengan kerajaan negeri Sarawak untuk membangunkan tanah hak adat bumiputera (NCR) yang masih belum dimajukan dengan tanaman kelapa sawit.

Walau bagaimanapun, pihaknya masih belum ada sebarang perbincangan rapat dengan kerajaan negeri Sarawak namun akan mengambil tindakan susulan selepas pilihan raya ini.

Mengulas senario ini, Mazlan berpendapat ianya jelas satu gimik politik untuk meraih undi rakyat Sarawak kononya kerajaan pusat dan kerajaan negeri begitu komited kepada pembangunan tanah NCR.

"Saya fikir apa yang disebut oleh Pengerusi FELDA jelas gimik politik untuk memancing undi dan saya tidak nampak kerana kesediaan mereka membangunkan tanah dalam bentuk peladangan.

"Bagi mereka kalau beri tanah kepada rakyat itu tidak memberi keuntungan kepada kroni-kroni mereka, tetapi hari ini mereka tampil dengan idea seperti itu sedangkan pemimpin Pakatan Rakyat telah lama hadir memberikan pandangan seumpama itu,"katanya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan