Pengerusi Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil, BERSIH 2.0, Ambiga Sreenevasan menjadi warga Malaysia keempat yang dihalang untuk masuk ke Sarawak, sejak pembubaran DUN Sarawak. Bekas Presiden Majlis Peguam yang berasa kecewa dan marah ini akan membawa kesnya ke mahkamah untuk mencabar keputusan ini dalam tempoh beberapa minggu terdekat.
Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim mengumumkan perkembangan terbaru ini dalam satu sidang media di Kuching, pagi tadi.
"Bolehkah anda bayangkan, pada tahun 2011, kerajaan menolak mana-mana NGO untuk memantau pilihan raya...melainkan kamu ada sesuatu yang ingin disembunyikan. Rakyat Sarawak dilihat sebagai rakyat yang bodoh. Menghalang beliau (Ambiga) untuk masuk (ke Sarawak) adalah sesuatu yang dikesali. Apabila Pengerusi BERSIH dihalang, apakah anda menganggap proses pilihan raya yang dikendalikan SPR akan menjadi telus?" pertikai Anwar.
Ambiga menjadi warga negara keempat yang dihalang masuk sejak pembubaran DUN Sarawak. Sebelum ini, aktivis sosial Steven Ng, aktivis BERSIH 2.0 Wong Chin Huat dan Pengerusi Presiden Malaysian Civil Liberties Movement (MCLM), Haris Ibrahim, juga mendapati diri mereka dihalang masuk selepas pembubaran DUN Sarawak.
Ketika dihubungi MerdekaReview pada jam 1 tengahari, Ambiga memaklumkan bahawa dirinya telah sampai ke Kuala Lumpur. Menurut Ambiga, apabila beliau mendarat di Lapangan Terbang Kuching pada kira-kira jam 9 pagi, seorang pegawai imigresen menelefon pihak atasannya selepas meneliti maklumat Ambiga. Ambiga menunggu untuk 20 minit, dan dipanggil ke satu bilik. Beliau diberitahu oleh pegawai dalam bilik tersebut bahawa mereka menghalangnya untuk memasuki Sarawak, mengikut arahan pejabat Ketua Menteri.
Ambiga dihalang di bawah Akta Imigresen Seksyen 65(1)(a), notis yang sama juga diterima oleh Wong Chin Huat dan Haris Ibrahim sebelum ini.
"Saya tahu mereka berkuasa berbuat demikian. Tetapi mengapa warga Malaysia dihalang masuk ke negeri lain dalam negaranya tanpa sebab? Saya bukan warga asing. Anda hanya boleh menghalang saya dengan alasan yang kukuh," kata Ambiga yang marah dan kecewa.
Pengerusi BERSIH 2.0 ini mengambil keputusan untuk melawat ke Sarawak setelah menerima khabar bahawa berlakunya kejadian yang melanggar Akta Pilihan Raya. Beliau akan mencabar keputusan ini dengan membawa kesnya ke mahkamah untuk judicial review.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan