Jumaat, 15 April 2011

BN Sarawak guna kanak-kanak sebar risalah fitnah

SATOK: Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Shamsul Iskandar Md Akin kesal dengan tindakan Barisan Nasional (BN) mengedar risalah kempen yang mengandungi fitnah jahat di kawasan masjid.
Menurut Shamsul, beliau yang menunaikan solat Jumaat di sebuah masjid dekat sini tengah hari tadi mendapati, risalah fitnah itu diedarkan oleh petugas BN termasuk kanak-kanak.
“Kita (KEADILAN) mengenal pasti seorang petugas BN memakai topi BN sedang mengedar risalah kepada jemaah selepas solat Jumaat tadi.
“Oleh kerana tiada petugas, mereka turut menggunakan kanak-kanak untuk mengedarkan risalah yang jelas mengandungi fitnah.
“…Dan mereka kata (risalah itu) KEADILAN yang buat. Sebaliknya, saya katakan kepada mereka, jangan buat tuduhan, kalau ada bukti buat laporan polis,” kata Shamsul menafikan risalah itu kepunyaan KEADILAN pada sidang media, hari ini.
Shamsul dan Nazib bersama anggota AMK mengoyakkan risalah fitnah
Risalah tersebut mengandungi tulisan ‘Kecoh Pemilihan Cabang PKR 2010′, ‘Tolak PKR demi keamanan dan keharmonian rakyat Sarawak’. Turut tertera, wajah Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Shamsul menegaskan, kempen seumpama itu adalah taktik biasa yang diguna BN untuk menjatuhkan KEADILAN dan Pakatan Rakyat.
BN juga menurutnya begitu terdesak sehingga terpaksa menggunakan institusi keagamaan di hari terakhir kempen.
“Kita tidak edarkan risalah ini dan ia merupakan taktik biasa yang kita ketahui yang mana mereka menunjukkan seolah-olah KEADILAN dan Pakatan Rakyat yang anjurkan pengedaran risalah berkenaan.
“Bagaimanapun biarlah pengundi yang buat penilaian,” kata Shamsul.
Lantaran itu, Shamsul menegaskan pendirian KEADILAN menolak politik jahat kerana ia memberi kesan buruk kepada individu malah parti.
“Kita tetap teguh dengan pendirian kita untuk menolak pendekatan politik fitnah jahat yang merosakkan peribadi dan seumpamanya.
“Sebab itu, kita memberi tumpuan kepada dasar serta pelaksanaan parti. Risalah-risalah yang diedar hampir saban hari dan yang terbaru (tadi), tiada sebarang cap daripada BN ataupun KEADILAN,” jelas Shamsul.
Anggota AMK membakar risalah fitnah
Senada dengan Shamsul, calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok yang juga Ketua AMK Negeri, Ahmad Nazib Johari
turut kesal perbuatan tersebut.
Kata beliau, BN sekarang amat tergugat sehingga sanggup menggunakan masjid untuk berceramah.
“Kita dapati bacaan khutbah tadi banyak menyentuh berkenaan kempen perpaduan dan ia diakhiri dengan memperingatkan jemaah bahawa hujung minggu ini (esok) adalah hari mengundi.
“Justeru, saya kecewa dan sedih dengan apa yang berlaku sekarang apabila mimbar terpaksa diguna untuk mempertahankan kuasa,” kata Ahmad Nazib.
Seusai sidang media berkenaan, Shamsul, Ahmad Nazib dan jentera KEADILAN DUN Satok bersama-sama membakar risalah berkenaan sebagai tanda penolakan politik jahat Barisan Nasional.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan