KeadilanDaily menemu ramah Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Sarawak, Baru Bian bagi mendapatkan lebih jelas tentang persediaan KEADILAN bagi menghadapi pilihan raya kali ini. . Ikuti temu bual bersama Baru Bian bersama wartawan KeadilanDaily, Sidiqin Omar.
Setakat ini, bagaimana sambutan rakyat Sarawak terhadap KEADILAN dan Pakatan Rakyat amnya?
Saya berpendapat, buat pertama kalinya, kita di Sarawak mempunyai satu keyakinan dan harapan yang realistik untuk mengambil alih pentadbiran dan memerintah
Sarawak.
Saya katakan perkara ini berdasarkan reaksi rakyat Sarawak dalam lawatan kita ke seluruh Sarawak sebelum Dewan undangan Negeri dibubarkan, dan selepas penamaan calon. Di kawasan yang kita tandingi, kita mendapat sambutan yang sungguh menggalakkan dan sentimen orang tempatan benar-benar berubah.
Kita merasa peluang kita untuk berjaya sangat cerah, meskipun BN menimbulkan kempen bersifat material kerana mereka tidak mempunya isu yang mendalam.
Berbanding Pakatan Rakyat yang membawa pelbagai isu seperti kemiskinan, rasuah, tanah adat, isu kebebasan beragama dan kedudukan Sarawak dalam perjanjian 1963.
Kesemua ini adalah isu yang sah (valid). Oleh sebab itu saya percaya rakyat Sarawak sekarang ini sudah sedar dan saya berbesar harapan bahawa kita akan berjaya.
Apa yang boleh ditawar oleh Pakatan Rakyat dan KEADILAN?
Satu daripadanya adalah isu tentang perjanjian masuk Sarawak ke dalam Malaysia selepas merdeka yang merupakan satu isu yang penting. Kita perjuangkan isu ini bukan hanya pada ketika pilihan raya, tetapi daripada awal lagi iaitu dalam muafakat yang telah ditandatangani Pas, Dap dan KEADILAN pada 19 Disember 2009.
Ia telah secara spesifik mengatakan kita akan mengkaji perjanjian 20 Sabah dan sarawak. Kalau perkara ini dikaji semula, kita lihat jelas bahawa BN, setelah 50 tahun merdeka dan Sarawak di dalam Malaysia, banyak perjanjian tidak dilaksanakan dan diabaikan.
Misalnya tentang peratusan perwakilan di parlimen dan beberapa isu lain termasuk pembangunan di kawasan pendalaman seperti sekolah, klinik dan sebagainya. Semua isu ini tidak diutamakan kerajaan BN. Ini adalah isu yang kita rasa kita harus timbulkan sebagai isu yang penting.
Apakah perjanjian antara persekutuan dan Sarawak pada 1963 akan memberikan sokongan kepada Pakatan Rakyat?
Yang jelas ialah borneonisation, iaitu perjanjian yang dipersetujui bersama pemimpin tempatan di Sabah dan Sarawak, yang mneyatakan salah satunya, orang tempatan perlu mengambil peranan di setiap jabatan persekutuan dan negeri.
Mereka harus menjadi ketua di setiap jabatan dan bukan orang luar atau semenajung. Tetapi perkara ini tidak berlaku. Saya difahamkan daripada 100 jawatan, hanya kurang 10 jawatan sahaja diketuai orang tempatan sedangkan anak Sarawak harus mengambil alih jabatan negeri atau persekutuan.
Kedua, berkaitan perwakilan dalam parlimen, jika kita imbas bila perjanjian Malaysia ditandatangi antara tanah melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak, kedudukan Sabah dan Sarawak pada masa itu adalah berstatus sebagai sebuah negara dan bukan negeri seperti di semenanjung.
Kerana itu agihan kerusi parlimen dibahagi secara peratusan mengikut perjanjian. Ketiga tentang pembangunan di Sabah dan Sarawak harus diutamakan, khasnya dengan kedudukan orang asli di Sarawak dan Sabah.
Bagaimana kedudukan orang Asal di Sarawak?
Perkara ini disahkan perlembagaan persekutuan artikel 161 (A) dan 153 di mana perlembagaan kita jelas secara khusus memberi kebenaran kepada pemerintah Sabah dan Sarawak mengeluarkan rang undang-undang bagi empertahankan kedudukan orang asal di Sabah dan Sarawak.
Itu adalah satu tanggungjawab kepada perintah persekutuan. Begitu juga dalam perlembagaan negeri, Sarawak diberi mandat untuk menjaga kedudukan orang asal di sarawak, terutama hak ke atas tanah adat.
Ini satu kedudukan yang disahkan dalam undang-undang, ertinya tanggungjawab pemerintah harus menjaga hak kedudukan orang asal. Tetapi perkara ini diabaikan, kerana sekarang ini BN melenyapkan hak ini dan langsung tidak mencadangkan rang undang-undang yang benar-benar melindungi hak orang asal.
Mengenai royalti minyak yang dituntut sebanyak 20 peratus apakah ini satu tawaran yang boleh memberi daya tarikan kepada rakyat Sarawak?
Ini juga satu janji yang jelas dari Pakatan rakyat khasnya seperti yang sering diperkatakan Datuk Seri Anwar Ibrahim disebabkan Sarawak antara negeri pengeluar minyak terbesar di Malaysia.
Kita janji sekiranya kita mengambil alih pusat, ini adalah satu janji yang akan membawa kebaikan untuk negeri Sarawak kerana sejak Sarawak berada dalam Malaysia, kita hanya diberi hasil 5 peratus royalti minyak.
Sekiranya wang royalti ini dikembalikan kepada rakyat Sarawak, 20 peratus ini bersamaan jumlah berbilion ringgit. Bagi saya ini satu perkara yang baik kerana kita mempunyai Sumber yang cukup untuk membangunkan Sarawak.
Jika kita diberi peluang untuk mentadbir Sarawak dan mengambil alih kuasa di Putrajaya, 20 peratus ini dikembalikan kepada negeri Sarawak dan banyak pembangunan yang boleh dilaksanakan.
Sekarang ini kita mahu menjelaskan kepada rakyat Sarawak, kerana BN mengatakan pembangkang tidak membawa pembangunan. Tetapi kita mengatakan kita bukan pemerintah. BN diberi mandat sebagai pemerintah, mereka harus membangunkan negeri.
Bagaimana menguruskan kepelbagaian etnik dan suku kaum di Sarawak, sekiranya Pakatan mengambil alih kerajaan negeri?
Dalam manifesto kita, kita jelaskan isu ini di mana kita berjanji supaya bahasa ibunda kita diperkembangkan. Setiap suku di sarawak dan Sabah diberi hak untuk mempertahankan bahasa atau dialek mengikut cara mereka.
Misalnya bagi saya sebagai Lumbawang, saya mahu anak saya dan generasi akan datang ingat latar belakang dan identiti kita. Ini penting, kerana sekarang ini bahasa Lumbawang tidak diajar di sekolah.
Dengan manifesto ini saya mencadangkan setiap suku diberi hak dan diberi mandat untuk pemimpin setiap suku membangunkan bahasa mereka. Kedua, mengenai soal adat melantik pemimpin atau ketua masyarakat di mana BN tidak menghormati adat resam orang asal.
Baru-baru ini mereka mengeluarkan undang- di mana ketua masyarakat di lantik gabenor council, bukan dilantik atau dipilih orang tempatan mengikut budaya mereka, seperti perbicangan di rumah panjang untuk menentukan pemimpin.
BN melantik ketua kampung, penghulu dan temenggong mengikut suka mereka. Mereka melantik di kalangan pemimpin masyarakat yang menyokong mereka tanpa menghirau mengenai pengetahuan tentang adat dan budaya di kalangan pemimpin masyarakat tersebut.
Bagaimana dari segi isu amalan dan kebebasan beragama?
Dalam isu ini kita berbalik semula kepada perjanjian 1963, kerana kebebasan hak beragama telah dijamin dan merupakan satu perkara yang dimasukkan ke dalam 20 perjanjian itu.
Tetapi yang jelas sekarang ini, kita merasa perkara ini tidak lagi dihormati BN khasnya oleh menteri pusat yang diketuai Umno.
Kita telah jelaskan di kampung-kampung dan pendalaman bahawa perkara ini merupakan janji yang awal sebelum Sarawak memasuki Malaysia. Baru-baru ini ketika di Lawas, mereka datang bertemu saya melahirkan kebimbangan sekiranya amalan agama mereka dicabuli.
Mereka faham dalam perlembagaan tanah melayu yang mengatakan Islam adalah agama rasmi persekutuan. Namun bapa Malaysia Tunku Abdul Rahman pernah mengatakan ini tidak bermaksud orang bukan Islam tidak boleh mengamalkan agama mereka kerana bukan Islam dijamin kebebasan untuk mengamalkan kepercayaan mereka.
Ini yang kita jelaskan di mana Pakatan Rakyat bersetuju, bukan hanya kata-kata sahaja, tetapi telah dimasukkan sebagai perjanjian bertulis pada 19 Disember 2010. Inilah yang kita tawarkan kepada rakyat Sarawak sekiranya Pakatan rakyat menjadi pemerintah.
Jelas pada saat ini, isu Al kitab dan isu Allah adalah isu yang sensitif bagi kita di Sarawak. Cara pemimpin BN menangani isu ini menunjukkan kegagalan.
Isu pembangunan di Sarawak?
Kita sudah lama mendengar cara mereka berkempen dan menarik sokongan dengan bermodalkan politik pembangunan. BN mengatakan hanya mereka yang boleh membawa pembangunan. Kita tidak melakukan perkara yang sama tetapi kita mahu mengatakan setiap pemerintah yang diberi mandat mentadbir negeri bertanggungjawab membawa pembangunan kerana mereka ada kuasa sebagai pemerintah.
Wang yang kita gunakan adalah wang dalam perbendaharaan negeri. Kalau kita diberi peluang untuk memerintah, kita akan mengunakannya untuk tujuan pembangunan. Bezanya kita ikhlas, dan mengamalkan prinsip, kebertanggungjawaban, telus dan terbuka. Itu lah prinsip yang kita laksanakan, berbeza pentadbiran BN.
Kita akan membawa pembangunan di seluruh Sarawak, tidak kira samada Iban, Bidayuh, Melayu atau Melananu. Kita berjanji membawa pembangunan untuk semua rakyat dan melaksanakannya tanpa rasuah untuk memberi keadilan kepada semua rakyat tanpa mengira bangsa.
Apakah KEADILAN dan Pakatan Rakyat mampu memenangi pilihan raya ini?
Ia membawa makna yang besar sekiranya kita menubuhkan kerajaan pemerintah yang baru di Sarawak atau sekiranya kita berjaya menafikan dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri.
Ia akan memberi permulaan petanda aras kepada Pakatan Rakyat untuk menuju Putrajaya, memandangkan persepsi rakyat Sarawak sudah mula terbuka dan peluang bagi kita untuk berubah.
Bagi kita di KEADILAN, makna kemenangan ini sangat besar dan penting bagi pilihan raya umum. Itu harapan kita dalam pilihan raya akan datang supaya ia membawa permulaan yang luar biasa dan membawa kesan kepada politik di seluruh Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan