Pakatan Rakyat akhirnya diberi kompaun RM200, setelah Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) James Chan Khay Syn membuat aduan tentang pentas ceramahnya di depan bangunan kedai perniagaan di Stutong. Sebelum ini, pentas ini nyaris dirobohkan pihak berkuasa, dan cuba dihalang oleh DAP.
ADUN Kampung Tunku, Lau Weng San yang berada di tempat kejadian berkata, isu meroboh pentas telah diselesaikan, selepas pihaknya mempertikaikan keputusan penguatkuasa. Beliau yang tidak berpuas hati bertanya, perhimpunan anjuran SUPP juga mengambil tempat letak kereta, apakah penguatkuasa juga akan mengambil tindakan?
Lau Weng San berkata, tempat letak kereta yang digunakan PR untuk ceramah pada malam ini tidak berpetak, maka beliau tidak menganggap kawasan itu berada di bawah bidang kuasa MBKS.
Malam ini adalah malam terakhir sebelum hari pengundian PRN Sarawak pada 16 April, yang bakal menentukan lanskap politik di bumi kenyalang. Meskipun Pakatan Rakyat telah memohon permit untuk mengadakan ceramah perdana pada malam ini, namun Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) masuk untuk cuba merobohkan pentas ceramah mereka di Stutong. Polis yang berada di situ hanya memerhatikan apa yang berlaku.
PR membariskan Pengerusi DAP Karpal Singh, Fong Kui Lun, Nga Kor Ming, naib Presiden PKR Nurul Izzah, dan lima orang calon PR sebagai penceramahnya pada malam terakhir ini. Pada hari-hari sebelumnya, ceramah anjuran PR dibanjir ribuan, malah puluhan ribu orang penduduk tempatan.
Ketua Pembangkang Parlimen Anwar Ibrahim menyatakan keyakinan beliau bahawa PR bakal menafikan majoriti dua pertiga BN di Sarawak, pagi tadi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan