Jumaat, 15 April 2011

Pakatan Rakyat Janji Pentadbiran Adil, Telus Di Sarawak

KUCHING 15 APRIL : Ketua Pembangkang berjanji Pakatan Rakyat akan mewujudkan sistem pentadbiran baru berlandaskan prinsip keadilan, ketelusan dan bebas rasuah sekiranya diberi mandat membentuk kerajaan negeri yang baru 16 April ini.

Bercakap kepada lebih 5,000 penyokong di ceramah perdana Grand Finale di Bandar Baru Samariang Fasa 3 malam tadi, Datuk Seri Anwar berkata, ia berdasarkan  kepada semangat dan kesedaran di kalangan rakyat Sarawak sepanjang kempen pilihan raya negeri ke-10.

"Sudah cukup dengan gejala rasuah yang berleluasa, sudah cukup dengan tata kelola pentadbiran yang lemah. Kini tiba masanya rakyat Sarawak bangkit mempertahankan hak mereka dan menuntut satu kerajaan yang benar-benar menjaga kebajikan rakyat," kata Anwar disambut tepukan gemuruh.


Tambah beliau pilihan raya kali ini merupakan yang terpenting dalam sejarah negeri Sarawak kerana rakyat berpeluang menentukan nasib mereka setelah diperintah selama 30 tahun di bawah pentadbiran Ketua Menteri yang korup dan mementingkan keluarga serta kroninya sahaja.

"Pilihan raya ini bukan untuk untuk menukar Ketua Menteri atau individu tertentu tetapi ia adalah perjuangan untuk menukar sistem yang sudah rosak dan menindas rakyat.

"Pemimpin yang akan kita angkat sebagai Ketua Menteri bukan sahaja orang yang baik tetapi adil dan menjaga semua masyarakat Sarawak tidak kira Melayu, Iban, Cina atau Bidayuh. Kita mahu ketengahkan pemimpin yang terbaik daripada semua suku kaum di negeri ini," tegasnya lagi.

Turut hadir pada majlis tersebut Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Presiden Azmin Ali, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Datuk Mansor Othman serta calon-calon KEADILAN.

Anwar mengakhiri siri jelajah dan kempen beliau ke seluruh Sarawak dengan membawa mesej jelas bahawa rakyat tidak perlu lagi takut kepada penguasa yang zalim dan rasuah tetapi sebaliknya menggunakan kuasa di tangan mereka untuk mempertahankan hak demi masa depan yang lebih cemerlang.

Bermula daripada program di Kuching pada 29 Mac, kempen pilihan raya yang ketat telah membawa beliau melawat Sibu, Miri, Bintulu sehingga ke kawasan pendalaman di Kapit.

Kempen beliau membantu calon-calon KEADILAN di lokasi ceramah mendapat sambutan menggalakkan dari rakyat di Bumi Kenyalang.

"Saya merasa amat bersemangat melihat kepada sambutan yang sungguh menakjubkan ini. Justeru saya percaya rakyat Sarawak akan membuat kejutan pada hari Sabtu ini, dan dengan izin Allah dan kebijaksanaan rakyat, Sarawak akan mendapat kerajaan negeri baru di bawah Pakatan Rakyat," ujar Anwar.

Sebelum itu Anwar berucap kepada ribuan rakyat di Pekan Sadong Jaya pada pukul 5.00 petang semalam diikuti dengan ceramah serupa di Asajaya, Bazar Serian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan