Jumaat, 15 April 2011

Akta p' raya dilanggar, Ambiga dihalang ke Sarawak

KOTA SAMARAHAN, 15 April: Pilihan Raya Negeri Sarawak yang sedang melalui hari terakhir tempoh kempen hari ini terus dicemari unsur-unsur salah guna kuasa  dan pelanggaran akta pilihan raya, seperti yang berlaku setiap kali pilihan raya umum dan kecil sebelum ini.

Ketua Badan Bebas Pemantau Pilihan Raya (Mafrel) Sarawak,Wan Zain Mahdzar juga tidak menolak kemungkinan gejala pembelian undi oleh pihak tertentu berlaku pada saat-saat akhir sebelum hari membuang undi esok.

"Seperti biasa, pelanggaran akta pilihan raya berlaku dalam semua parti yang bertanding, dan melihat kepada perkembangan semasa, tidak mustahil pihak-pihak tertentu membeli undi untuk memenangi kerusi mereka," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.
Manakala itu, Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan (gambar kanan) telah dihalang dari memasuki Sarawak hari ini.
Bekas Presiden Majlis Peguam itu tiba bersama kapalterbang di Lapangan Terbang Kuching jam 9 pagi tadi namun dimaklumkan tidak boleh memasuki Sarawak atas arahan pejabat Ketua Menteri Sarawak.

Bersih 2.0 adalah badan bebas yang memperjuangkan pilihan raya yang adil dan bebas di negara ini.
Sebelum ini beberapa orang peguam termasuk Sivarasa Rasiah juga dihalang dari memasuki negeri itu.

Polis ramai di rumah panjang
Sementara itu Wan Zain Mahdzar  juga berkata, daripada pemantauan yang dilakukan bermula hari penamaan calon, Mafrel mengesan kehadiran polis yang ramai di kawasan-kawasan tertentu terutamanya di kawasan rumah panjang menimbulkan ketakutan di kalangan mereka dan tidak berani mengundi parti selain daripada kerajaan.

"Mafrel dapati ramai polis ditempatkan di kawasan rumah panjang dan ini sudah tentu untuk memastikan mereka berpihak kepada kerajaan," katanya.

Selain itu, Mafrel juga mendapati terdapat senarai pengundi yang tidak logik di beberapa kawasan apabila terdapat pengundi yang berumur lebih daripada 100 tahun.

"Ada beberapa kawasan yang mempunyai pengundi berumur lebih 100 tahun. Ini sangat mencurigakan dan ada tanda-tanda kehadiran pengundi hantu," katanya.

Sehubungan itu beliau menyeru pihak-pihak tertentu agar menghadapi pilihan raya secara bersih kerana unsur-unsur penipuan tidak akan memberi faedah kepada sistem demokrasi di negara ini.

"Harap pihak yang merasakan mereka berkuasa meninggalkan amalan penipuan kerana merugikan semua pihak," katanya.

Pulang mengundi

Selain itu, beliau turut menggesa rakyat negeri ini yang tinggal di Semenanjung agar pulang menunaikan tanggungjawab mereka.

"Terdapat lebih 200,000 penduduk Sarawak yang tinggal di luar negeri. Jadi diharapkan mereka dapat balik mengundi.

"Mungkin berlaku masalah kepada mereka yang tidak menempah tiket penerbangan awal tapi kalau boleh cubalah sedaya upaya agar dapat mengundi," katanya.

Mafrel katanya akan membentangkan laporan pemantauan mereka kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk diteliti dan diambil tindakan bagi memulihkan proses pilihan raya yang semakin tercemar.

Seramai 40 anggota Mafrel negeri itu ditugaskan untuk menjaga hampir setiap kawasan termasuk Miri, Sibu, Kuching dan Sri Aman.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan