KUCHING, 12 April – Parti-parti pembangkang tidak harus menyentuh isu agama dalam kempen pilihan raya mereka di Sarawak yang dibimbangi boleh menggugat sensitiviti masyarakat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
“Kita tahu negeri ini mempunyai budaya tersendiri, penuh ketenteraman, kesopanan dan penduduknya saling menghormati satu sama lain tanpa mengira bangsa dan agama.
“Nilai aset yang paling penting ini jika tidak dijaga akan menyebabkan kita tidak mampu memacu negeri ini,” kata beliau di Telaga Air dekat sini hari ini.
Dipetik Bernama Online, Jamil Khir berkata semua rakyat perlu sama-sama menjaga negara ini yang penuh dengan kebudayaan, bangsa dan agama yang berbeza.
“Kerajaan mendukung semangat perpaduan ini yang membolehkan kita mengorak jauh ke hadapan dalam pembentukan pembangunan, memberi keselesaan kepada pendidikan anak bangsa kita tanpa mengira agama,” katanya.
Jamil Khir berkata jika ada bibit ketidakpuasan dalam kalangan masyarakat dan keyakinan agama yang disalah tafsir, ia boleh menyebabkan perpecahan penduduk di negeri ini.
“Jangan nanti, oleh kerana ingin meraih kepentingan politik, masyarakat diadu-dombakan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan