Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin berkata, kejayaan Pakatan Rakyat di negeri-negeri yang ditadbirnya menunjukkan gabungan parti itu lebih layak mentadbir Sarawak, berbanding Barisan Nasional.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan terbaru Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, sewaktu berkempen di Kuching semalam, yang mendakwa kononnya kerajaan Pakatan rakyat tidak menunaikan janji di negeri yang dikuasainya.
Zuraida menegaskan, Najib layak digelar ‘maha penipu rakyat’ kerana umum mengetahui negeri Pakatan, terutama Selangor dan Pulau Pinang mencatatkan jumlah pelaburan dan pendapatan tertinggi di Malaysia.
“Contohnya, Selangor sendiri mencatatkan pendapatan lebih 30 peratus buat ekonomi keseluruhan negara. Malah, Ketua Audit Negara memuji tadbir urus dan tata kelola negeri-negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat.
“Rakyat Sarawak harus sedar wang yang digunakan BN untuk menabur segala janji adalah wang rakyat sebenarnya,” katanya yang juga Ahli Parlimen Ampang.
Zuraida menjelaskan, tindakan sewenangnya kerajaan BN menggunakan wang rakyat demi kepentingan peribadi dan kempen politik parti menunjukkan pimpinan BN termasuk Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud adalah pemimpin yang sangat tidak amanah dan bertanggungjawab.
“Berbanding dengan Pakatan, setiap sen wang rakyat akan digunakan untuk kebajikan rakyat.
“Amalan anti-rasuah, cekap dan amanah dalam pentadbiran Pakatan adalah jauh lebih baik berbanding budaya penuh korupsi dan penipuan dalam pemerintahan BN,” katanya lagi.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan Pakatan Rakyat ikhlas dan yakin seandainya pentadbiran Sarawak ditadbir dengan penuh amanah dan tanggungjawab, tentunya rakyat akan turut sama menikmati hasilnya seperti yang berlaku di negeri Pakatan Rakyat di Kedah, Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan