Selasa, 12 April 2011

Permainan BN : Bimbang Baru Bian sebar Kristian jika jadi KM S’wak?

Penulis blog pro-BN takut Sarawak dikristiankan sepertimana ketika Sabah dibawah Pairin Kitingan.

PETALING JAYA: Rata-rata penulis blog pro-Barisan Nasional (BN) menzahirkan rasa bimbang mereka bahawa proses pengkristianan akan berlaku di Sarawak sekiranya Baru Bian dilantik sebagai Ketua Menteri jika Pakatan Rakyat memenangi pilihan raya negeri (PRN) 16 April ini.
Ketua PKR Sarawak tersebut mempertaruhkan masa depan politiknya dengan bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri Ba’ Kelalan menentang anak saudaranya Willie Liau daripada SPDP-BN.
Di dalam kempen pilihan raya Sarawak yang sedang berlangsung ini, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 8 April lalu, telah mengumumkan bahawa Baru Bian akan dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak sekiranya BN berjaya ditumbangkan.
Penulis blog Cucu Tok Wan (theflyingkick.blogspot.com) dalam artikelnya bertajuk Confirm!!! Baru Bian Ketua Menteri Sarawak mendakwa bahawa parti DAP yang turut mengetengahkan calon dalam PRN menyokong Baru Bian kerana DAP parti pendakwah Kristian dari Semenanjung Malaysia.

“DAP merupakan sebuah parti missionari yang berasal dari Semenanjung.
Kalau diperhatikan dan diperhalusi, DAP menjuarai apa-apa sahaja yang berkaitan dengan Kristianisasi sama ada secara langsung seperti sokongan terhadap forum memeluk Islam, mahupun Bible berbahasa Melayu (sungguhpun lebih 90% daripada pemimpinnya gagal berbahasa Melayu dengan baik), mahupun lambang salib yang diselindungkan dalam lawatan Perdana Menteri dalam satu majlis Krismas tahun lepas.”
“DAP melihat Baru Bian sebagai tokoh terbaik untuk dijadikan boneka. Baru Bian yang merupakan antara pemimpin gereja yang sangat dihormati di Sarawak, merupakan calon paling sesuai untuk meneruskan impian serta perjuangan DAP sungguhpun Baru Bian bernaung di bawah PKR,” tambah Cucu Tok Wan.
Seterusnya penulis blog ini turut meramalkan bahawa sokongan DAP kepada Baru Bian bersifat sementara kerana PKR tidak dijangka menang mudah lantas DAP dapat memegang tampuk kuasa Sarawak.
Ini kerana perlembagaan negeri tidak mensyaratkan bahawa Ketua Menteri Sarawak mesti terdiri daripada orang Melanau/Islam.
Forum Gerak Reformasi pula mempunyai komentar yang lebih pedas berkenaan dengan kelangsungan Islam sekiranya undi tidak diberikan kepada Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud.
“Kalau Taib Mahmud perlu dikorbankan demi kelangsungan politik Islam di Sarawak lakukanlah demi Islam. Taib akan mati dia tidak akan hidup selamanya, Islamlah yang akan kekal di bumi ini dan di Sarawak.
Mahukah kita lihat Islam disingkirkan kerana orang benci kepada Taib Mahmud?,” soalnya.
Menurut komentar yang diperoleh daripada penulis blog Mutaligat yang pro-PAS kegusaran ini lahir dari tindakan mantan Ketua Menteri Sabah Joseph Pairin Kitingan yang didakwa melaksanakan proses Kristianisasi di Negeri di Bawah Bayu.
Dakwaan proses Kristianisasi ditolak
Mengulas perkara ini, Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching dari parti DAP, yang ketika ini berada di Sarawak, menafikan bahawa Baru Bian dari PKR ialah calon ketua menteri boneka.
“Jika PKR tidak menang majoriti kita tidak boleh membentuk kerajaan. PKR memerlukan sekurang-kurangnya 16 kerusi manakala DAP memerlukan 15 dan PAS enam kerusi.
Beliau turut mengetepikan isu agama calon ketua menteri sebagai kriteria dan dakwaan bahawa DAP merupakan parti pendakwah Kristian.
“Kriteria seorang ketua menteri sepatutnya berdasarkan moral dan kebolehan mereka. Pengerusi DAP, Karpal Singh dan naib pengerusi Tunku Aziz Tunku Ibrahim bukan Kristian.”
Dakwaan bahawa proses Kristianisasi di Sarawak turut ditolak beliau.
“Tuduhan itu terlalu kebodohan dan lucu,” katanya kepada FMT ketika dihubungi hari ini.

1 ulasan:

  1. pa nak dtakutkan. kuat agama xkan brubah. lagipun sarawak terang terangan adalah negeri majoriti kristian. so apa yang dirisaukan oleh penganut agama lain?

    BalasPadam