Selasa, 12 April 2011

Taib undur: Sandiwara Najib kaburi mata rakyat

KUALA LUMPUR, 11 April: Kenyataan Datuk Seri Najib Razak semalam bahawa Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud akan meletak jawatan selepas Pilihan raya Negeri Sarawak  mencerminkan satu sandiwara untuk mengaburi mata rakyat.

AJK PAS Pusat, Datuk Husam Musa berkata, jika beliau benar-benar serius dalam perkara itu, Perdana Menteri harus terus menamakan pengganti yang telah dipersetujui oleh Taib untuk mengambil alih tampuk pentadbiran negeri.
Taib Mahmud telahpun mengeluarkan kenyataan untuk berundur daripada jawatan Ketua Menteri sewaktu pilihan raya 2006 tetapi sehingga sekarang masih belum melakukannya.
“Sekarang, janji tersebut di ulang tayang semula kepada rakyat Sarawak sebagai harapan palsu bahawa perubahan akan berlaku,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Exco Kerajan Kelantan berkata, ketua menteri yang ada kini sudah terlalu lama memerintah.
Tambahnya, Taib gagal membersihkan diri dari isu-isu mengaut kekayaan melalui jawatannya, anak-anaknya, kronisma dan penggondolan hutan semula jadi Sarawak dan membiarkan sebahagian besar rakyat Sarawak tertinggal dalam kemunduran, kemiskinan dan suasana terancam.
Beliau berkata, sekalipun isu-isu rakyat Sarawak bukan sekadar berbangkit dari cara pemerintahan Taib yang berkisar kepada pengkayaan kroni tetapi lebih kepada dasar-dasar BN Sarawak yang telah terlalu lama memerintah, namun pengundurannya adalah sangat perlu untuk perubahan.

Justeru itu, katanya untuk mengelakkan Taib membina dinasti keluarga dengan menamakan adik beliau, Datuk Seri Muhamad Ali Mahmud,  Perdana Menteri harus menamakan pengganti Tan Sri Taib Mahmud sebelum hari pengundian.

Menurutnya, Najib dilihat memberikan restu untuk Taib sekali lagi menjadi Ketua Menteri Sarawak dengan membelakangkan tuntutan perubahan oleh majoriti rakyat Sarawak  dengan mengizinkan beliau bertanding semula.
“PM dengan itu telah bersekongkol mengizinkan penindasan yang dilakukan oleh BN Sarawak ke atas rakyat Sarawak berterusan dan lebih mengutamakan perasaan individu pemimpin dari suara hati rakyat terbanyak Sarawak,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan