KUALA LUMPUR, 11 April: PAS menyifatkan tindakan pihak polis dalam percubaan membeli dan mengugut calonnya bagi pertandingan di Dun Tanjung Batu, Sarawak, sebagai suatu tindakan yang amat memalukan dan menjijikkan.
Tindakan tersebut bukan sekadar turut menjejaskan imej pihak polis, tetapi turut menyebabkan masyarakat kehilangan kepercayaan kepada pihak polis sebagai pihak yang mengawal keselamatan negara.
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof Rawa sehubungan itu mendesak pihak polis mengambil tindakan segera terhdap pegawainya yang terlibat dalam kejadian itu.
Menurut beliau, tindakan segera terhadap pegawai polis yang terlibat itu amat perlu dilakukan oleh pihak polis memandangkan laporan polis mengenainya telah pun dibuat oleh pihak yang terbabit.
Katanya, tetapi beliau sangsi sama ada tindakan itu akan dilakukan oleh pihak polis, walaupun laporan polis telah dibuat, memandangkan yang terlibat itu adalah pihak polis sendiri.
"Jadi, ini tentunya suatu tindakan yang amat malang, amat memalukan dan amat menjijikkan, perlu dihentikan segera serta ditentang habis-habisan oleh setiap pihak," tegasnya ketika dihubungi, hari ini.
Semalam Harakahdaily melaporkan, PAS membuat satu laporan polis ekoran calon mereka di Dewan Undangan Negeri (Dun) Tanjung Datu, Nani Sahari didakwa cuba diugut dan cuba dibeli pihak tertentu. Laporan itu dibuat di Balai Polis Lundu 7 April lalu oleh wakil calon, Syed Abdul Rahman Syed Hussain.
Menurut Abdul Rahman, ketika sedang mengadakan kempen rumah ke rumah, calon menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai seorang pegawai polis.
Dalam perbualan itu, lelaki tersebut cuba memujuk beliau untuk berjumpa dan berunding tentang penyertaan beliau dalam pilihan raya negeri kali ini.
Bagaimanapun, Nani yang akan ditentang oleh Tan Sri Adenan Satem dari BN dan Gilbert Asson Anak Kulong dari parti Bebas didakwa menolak pelawaan tersebut secara baik dan meletak telefon biarpun diajak bertemu sendirian beberapa kali.
"Calon bagitahu saya dia menolak pelawaan itu dengan memberitahu dia ada perinsip dan tidak mahu berunding apa-apa. Kita anggap ini satu percubaan untuk membeli, mengugut dan menyusahkan calon kita," kata Syed Abdul Rahman.
Katanya, pihak polis juga turut mengesahkan nombor telefon yang diguna untuk menghubungi calon itu adalah dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
"Kita mahu polis mengadakan siasatan segera kerana kita tidak mahu perkara sama berulang dan boleh menjejaskan kempen calon," tegasnya.
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar kemudiannya menunjukkan kepada Harakahdaily laporan polis yang dibuat oleh Syed Abdul Rahman itu.
Mengulas perkara itu dengan lebih lanjut, Mujahid meminta pihak polis agar memainkan peranannya dengan baik dalam menjaga keselamatan kerana pihak polis sebenarnya adalah pihak yang berkecuali dengan pilihanraya.
"Tetapi jika pihak polis sendiri turut melakukan perbuatan itu, bermakna polis kini sudah tidak lagi menjadi penjaga keselamatan, tetapi sudah menjadi komponen BN dan ini mesti ditentang habis-habisan," katanya.
"Ini juga bermakna polis sendiri sudah memburukkan imej polis sendiri dan ia perlu diambil tindakan segera oleh pihak polis selaku penjaga keselamatan," katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap agar pihak polis menghentikan segera perbuatan itu kerana ia jelas akan menjejaskan perjalanan demokrasi di negara kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan