SATOK: KEADILAN membangkitkan lima persoalan dan menuntut jawapan segera dari pimpinan Barisan Nasional, sama ada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak atau pun penyandang Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.
Pengarah Strategi dan Politik KEADILAN, Rafizi Ramli berkata, soalan tersebut berkisar mengenai gerak kerja dan kempen Barisan Nasional pada hari kelima selepas penamaan calon.
Pertama, katanya, Barisan Nasional perlu menjelaskan sama ada mereka bertanggungjawab terhadap serangan ke atas laman web Sarawak Report sehinggakan pengendalinya terpaksa mengalihkan laman tersebut setiap minggu.
“Ini kerana kebelakangan ini wujud kecenderungan sesetengah pihak untuk mensabotaj laman tersebut. Mengapa mereka takut sedangkan Barisan Nasional mempunyai jentera media yang lebih besar?
Menurut Rafizi, dua minggu lalu pula, BN Sarawak membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap Radio Free Sarawak, yang banyak membongkarkan salahlaku dan penyelewengan Taib Mahmud di negeri itu.
Kedua, menurut Rafizi, Taib perlu menjelaskan bila kah tarikh beliau akan bersara dari politik, memandangkan terdapat percanggahan antara kenyataannya dengan pengumuman yang dibuat Najib.
“Pada awalnya, Taib mengatakan yang dia tidak akan undur selepas pilihan raya negeri. Kemudian Najib buat pengumuman bahawa Taib akan undur selepas pilihan raya negeri.
“Terbaru dalam sebuah majlis yang dihadiri ramai, secara terbuka Tain menyatakan bahawa dia memerlukan dua atau tiga tahun sebelum mengundur diri daripada politik Sarawak. Ini adalah kontra yang besar,” kata Rafizi.
Ketiga, Rafizi meminta kepastian samaada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengambil tindakan tegas berikutan rasuah politik terang-terangan yang dilakukan oleh pemimpin Barisan Nasional.
“Pengumuman demi pengumuman projek dan peruntukan dibuat. Bukankah SPRM dan SPR bermati-matian mahu banteras rasuah? Ini jelas kesalahan pilihan raya,” tegas Rafizi.
Keempat, Rafizi meminta penjelasan daripada pimpinan BN kerana terdapat pihak tertentu mengapikan sentimen agama pada pilihan raya kali ini.
Ia berikutan beberapa kain rentang dipasang di sekitar Kuching yang memaparkan perkataan provokatif, antaranya ‘Undi PKR bermakna undi untuk negara Islam’ dan ‘Undi PKR, undi untuk negeri Kristian’.
“Ramai yang tidak memahami situasi politik dan pengamalan beragama masyarakat di negeri ini yang majoritinya adalah mereka yang beragama Kristian. Tindakan kempen politik murahan seperti ini wajib dihentikan,” desak Rafizi.
Bagi soalan kelima, Rafizi menggesa Najib dan Taib menjelaskan siapakah sebenarnya yang mengetuai kempen Barisan Nasional pada pilihan raya negeri itu.
“Selepas kejadian semalam, apabila Taib Mahmud mengumumkan yang dia hanya akan meletakkan jawatan dalam tempoh dua hingga tiga tahun dari sekarang, siapa yang mengetuai kempen Barisan Nasional?
“Adakah Taib ‘bad in business’? Kami mahukan jawapan mereka”, ujar Rafizi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan