Selasa, 12 April 2011

Mesej Khalid Kepada BN : Berpolitiklah Dengan Cara Lebih Matang

SHAH ALAM 12 APRIL : Populariti negeri Selangor bawah pimpinan Pakatan Rakyat dicemburui Barisan Nasional lalu menjadikan ia sasaran kritikan demi menonjolkan kegagalan pentadbiran di bawah Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalib Ibrahim.

Itu taktik terbaru yang digunakan Barisan Nasional dalam siri kempen mereka di Sarawak apabila Pakatan Rakyat menjadikan Selangor sebagai negeri  contoh kejayaan mereka membangunkan Selangor di bawah konsep 'Merakyatkan Ekonomi Selangor'. 

Khalid yang ditemui Tv Selangor hari ini melahirkan kekecewaannya dengan taktik Barisan Nasional itu yang sanggup menyebarkan fitnah dalam memastikan kelangsungan politik mereka.

"Itu adalah satu tindakan terdesak dengan memburuk-burukkan tanpa asas dan fakta yang benar, jadi di Selangor kita lebih matang dengan perkara tersebut, jadi apa yang berlaku ini kita harus mengambil pengajaran dan menjadikan ia sebagai contoh yang tidak harus digunapakai di Selangor dan Malaysia,"katanya.


Terbaru, pada sesi Dialog Bersama Masyarakat Kristian di Kuching semalam, Exco Selangor, Teresa Kok dan ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad mendedahkan pelbagai bentuk fitnah yang direka cipta Barisan Nasional sama ada melalui papan iklan mahupun pada akhbar berbahasa Cina untuk memburukkan pentadbiran Pakatan di Selangor.

Antara gambaran buruk yang diberikan ialah kerajaan Selangor dengan sewenang-wenangnya menaikkan harga lesen penjaja di pasar dan larangan penjualan arak.

Bagaimanapun perkara itu dinafikan oleh Khalid.

Menurut Khalid, beliau akur pelbagai usaha dilakukan oleh parti bertanding pada pilihan raya negeri Sarawak demi meraih perhatian rakyat, namun katanya biarlah ia dilakukan dengan adil, telus dan tidak menyelitkan elemen fitnah demi menjatuhkan lawan.
"Dari segi politik, sudah tentulah kita berpendapat, semua pihak akan bertanding dan pertandingan kita mestilah atas dasar bagaimana ingin membawa pembangunan yang terbaik untuk rakyat, jadi sebab itu bagi saya, apa yang kami mahu tunjukan di Sarawak ialah sejauh mana usaha kita membangunkan Selangor jika dibandingkan dengan pemerintahan di Sarawak yang sudah lebih 40 tahun,"katanya lagi.

Khalid berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat exco di SUK Shah Alam hari ini.

Turut Hadir, Exco Pelaburan, perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Modal Insan, Halimah Ali.

Teresa Kok juga turut menyeru BN berkempen dengan cara yang lebih matang dan tidak memutarbelitkan fakta untuk mengaburi mata pengundi.

"Saya ingin menyeru pihak BN agar berkempen khususnya di Sarawak kini, dengan cara yang lebih matang, bercakap benar dan bukannya melaporkan perkara yang salah untuk kepentingan politik berkempen kerana ia jelas satu tipu helah,"katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kebangkitan dan penerimaan rakyat Sarawak terhadap corak pemerintahan Pakatan Rakyat, ia adalah petanda baik kerana rakyat Sarawak kerana tertarik dengan perkembangan di Selangor, kata Khalid.   

"Sangat baik, rakyat Sarawak tertarik dengan konsep Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) yang mana menerusi konsep MES ini kerajaan negeri memberi harapan kepada rakyat bahawa sumber kekayaan negeri akan mengalir terus kepada rakyat dan mereka juga memang menerima baik konsep 'Hasil Negeri Untuk Rakyat' .
"Apabila saya berada di Sarawak dan menerangkan konsep ini mereka berharapkan konsep seumpama ini dapat dijalankan apabila pemerintahan baru berjaya ditubuhkan di Sarawak, dan untuk melaksanakannya, rakyat Sarawak perlu memlilih Pakatan Rakyat,"tambah Khalid lagi. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan