Selasa, 12 April 2011

Rumah calon KEADILAN dibaling botol arak waktu maghrib

Rumah calon KEADILAN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok, Ahmad Nazib Johari dibaling botol arak pada waktu maghrib Ahad lalu dan hampir-hampir memecahkan tingkap rumahnya.
Nazib ketika dihubungi Keadilandaily.com mengesahkan kejadian itu dan menyifatkan ia sebagai tindakan terdesak BN dalam usaha mengekalkan kerusi DUN Satok.
“Kejadian berlaku pada Maghrib, Ahad lalu apabila seorang individu menunggang motorsikal membaling sebuah botol arak dan hampir-hampir memecahkan tingkap rumah saya.
“Sepatutnya pada waktu maghrib kita menunaikan solat dan bukannya membaling botol arak,” katanya kesal.
Menurut Nazib, kejadian itu menunjukkan bukti bahawa BN sanggup buat apa sahaja untuk menang dalam pilihan raya berkenaan walaupun ia bercanggah dengan Islam.

Nazib yang juga Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Sarawak memberitahu, tindakan samseng yang dipercayai diupah BN itu bukan merupakan satu perkara baru. Malah ia semakin kerap dilakukan sepanjang tempoh kempen pilihan raya Sarawak berlangsung.
“Pada malam penamaan calon, rumah saya disimbah cat merah dan baru-baru ini pula jentera KEADILAN dihalang dan diugut dari memasuki Kampung Kudei Baru yang juga terletak dalam DUN Satok,” kata beliau.
Menurutnya, antara masalah rakyat di kampung itu melibatkan ketiadaan bekalan elektrik dan bekalan air bersih serta penduduk yang tidak memperoleh geran tanah meskipun sudah mendiami kawasan itu hampir 20 tahun.
“Apa pun saya amat tersentuh dan mengucapkan berbanyak terima kasih kepada penduduk Kampung yang tetap menjemput saya bersama rombongan parti ke kampung Udei walaupun berdepan pelbagai halangan dari pihak lawan, ujarnya yang merupakan anak jati Satok.
Nazib merupakan calon KEADILAN yang pertama kali bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok yang majoritinya adalah kaum Melayu.
Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah (Kepujian), dengan pengkhususan dalam jurusan undang-undang syariah, ayah kepada lima anak ini adalah graduan dari  Universiti Malaya dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UiAM).
Beliau kini memiliki firma guaman sendiri bernama Ahmad Nazib and Associates.
Sebelum ini, kerusi DUN Satok disandang oleh calon BN, Datuk Abang JOhari Abang Openg yang juga Menteri Perumahan Sarawak selama lima penggal berturut-turut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan