KUCHING, 12 April: Tanggal 11 April tepat lima hari kempen bagi Pilihan Raya Umum Negeri (PRN) Sarawak tamat bagi fasa pertama, dan 12 April menjadi tarikh seterusnya masuk ke fasa kedua.
Kesemua parti yang bertanding masih belum giat dalam berkempen termasuk perang poster yang juga kurang kelihatan.
Tinjauan di beberapa buah kawasan Dun di Parlimen Kuching, Santubong, Batang Sadong, Batang Lupar dan Samarahan kebanyakannya masih belum rancak perang posternya.
PAS sendiri baru memulakan perang posternya pada 9 April, dengan petugas baru sahaja memulakan kerja-kerja menampal poster, banner dan propaganda.
Cuma di Sebuyau sahaja, PAS yang menampilkan Pesuruhjaya Sarawak, Adam Ahid telah memulakan lebih awal lagi kerja-kerja menaikkan bendera dan poster.
Di Muara Tuang, Sadong Jaya dan Tanjung Datu, semuanya masih di peringkat awal lagi, iaitu hanya dibeberapa tempat sahaja dinaikan poster dan bendera PAS.
Di Beting Maro pula, jentera PAS Kelantan yang bertugas di sana sejak Oktober tahun lalu lagi mula mengiasai beberapa Tuai (Ketua) Rumah Panjang, dan kempen lebih tertumpu kepada penerangan dari rumah ke rumah.
Di Tanjung Datu, kempen berteraskan ceramah kelompok, selain program turun padang rumah ke rumah oleh calon PAS, Nani Sahari, namun seperti kata Nani, kesukaran dihadapi kerana ada halangan di kalangan petugas keselamatan terhadap ceramah PAS.
Di Muara Tuang, kempennya berjalan secara senyap, hanya kehadiran Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar dan beberapa pimpinan PAS Perak menceriakan keadaan dengan program bersama penduduk.
Di peringkat DAP pula, ceramah-ceramah yang mereka anjurkan mendapat perhatian ramai, termasuk ceramah bersama tiga pimpinan utama Pakatan Rakyat, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng di Batu Kawa pada 10 April lalu.
DAP antara parti yang dikatakan menjadi tumpuan besar pengundi di kawasan bandar terutama di Kota Sentosa yang mana penyandangnya, Chong Chien Jen ada peluang besar apabila rekodnya di sini dikatakan sangat baik.
Sementara kempen PKR pula bertumpu kepada isu-isu membabitkan tanah adat (NCR), kronisme dan kekayaan luar biasa Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud selain isu-isu kemiskinan.
Anwar sendiri turun naik ke Sibu, Miri dan Kuching serta Bintulu untuk berceramah, dan membantu pimpinan setempat berkempen dengan lebih agresif.
Harakah mendapat maklumat, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri akan berkampung selama liam hari bermula 11 April untuk serang Pakatan Rakyat secara habis-habisan.
Namun, BN-PBB juga sebenarnya sudah mula menyerang Pakatan rakyat bukan semasa kempen, tetapi sejak Sidang Dun Sarawak dibubarkan.
Ramai yang menjangkakan, kempen fasa kedua bakal agresif dengan BN pastinya akan memulakan penggunaan jentera kerajaan dengan lebih kerap berbanding sebelumnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan