Apakah benar "angin perubahan" yang dikatakan sedang bertiup di Bumi Kenyalang ini bakal menyaksikan satu perubahan mentaliti rakyat Sarawak? Setidak-tidaknya mampu menafikan majoriti 2/3 BN yang telah menguasai negeri itu sejak sekian lamanya. Lantas, PRN Sarawak ini dilihat bakal mengundang pelbagai spekulasi dan ada pendapat bahawa PRN kali ini merupakan PRN paling sukar dan paling mencabar buat BN. Dari satu sudut yang lain, Pakatan Rakyat pula dilihat begitu ghairah untuk mengambil alih pentadbiran di Sarawak walaupun sejak awal-awal lagi berlaku perebutan kerusi kurang sihat di antara PKR dan SNAP.
Merujuk kepada siapa yang akan kalah dan menang dalam PRN Sarawak pada kali ini, kita boleh mengandaikannya kepada empat kemungkinan utama. Pertama, BN berjaya mempertahankan majoriti dengan selesa. Kedua, BN hilang majoriti 2/3 tetapi masih membentuk kerajaan. Ketiganya, Pakatan Rakyat berjaya merampas Sarawak dari BN dan keempat, wujudnya kerajaan campuran di Sarawak. Daripada empat kemungkinan yang dikemukakan di sini, salah satu di antaranya adalah pasti.
Berdasarkan penelitian yang dilakukan, kejayaan BN mempertahankan kerusi di Kerdau dan Merlimau sama sekali tidak boleh dijadikan kayu ukur di PRN Sarawak. Ini kerana situasi politik, budaya, agama dan geografi di Sarawak jauh sekali berbeza. Walaupun sebelum ini Sarawak merupakan kawasan "core" yang memberi laluan mudah kemenangan untuk BN, kini, landskap politik telah mula berubah, perubahan pertama dilihat berlaku semasa Pilihanraya Kecil di Sibu lepas yang menyaksikan kemenangan calon dari DAP.
Apakah yang membuatkan PRN Sawarak pada kali ini dilihat panas sehingga BN dikatakan dalam keadaan cemas manakala PR begitu ghairah dalam kempen-kempen mereka? Apakah para pengundi di Sarawak melihat ada kewajaran untuk menukar kerajaan baharu di Sarawak? Tentu ada isu besar yang mencuri tumpuan.
Taib Mahmud: Dilema tanah adat dan kebangkitan Dayak
Sebelum itu, benarkan saya untuk memetik tulisan Mior Kamarul Shahid di dalam bahagian Rencana, Berita Minggu 10 April 2011 muka 26 bertajuk Persoalan Siapa Akan Menang. Antara lain beliau menulis, "Isu Taib tidak sepatutnya timbul jika pembangkang melihat cermin mengenai status dan latar belakang barisan kepemimpinan mereka sendiri. Mengapa tempoh perkhidmatan Taib selama 30 tahun dipertikaikan sedangkan ia tidak berbeza dengan beberapa pemimpin pembangkang.."
Ini soal penting. Anda juga mungkin bersetuju dengan pendapat saya. Kita harus faham dan tahu apakah yang sedang berlaku di dalam negeri ini. Penulis Mior Kamarul Shahid mungkin tersilap pandang. Tentu sekali, isu umur bukanlah halangan untuk seseorang itu berkhidmat. Apa yang harus diberi penekanan adalah sejauh mana usia pemerintahan itu diisi dengan pemerintahan yang baik. Secara umum, pemerintahan yang baik adalah pemerintahan yang menekankan prinsip-prinsip keadilan dalam pelaksanaan dasar mahupun undang-undang.
Persoalannya, apakah Taib telah memerintah Sarawak dengan baik? Pasti soalan ini akan mengundang pelbagai reaksi. Sama ada pro maupun kontra, itu tidak penting. Perkara yang harus diberi penekanan sekarang adalah fakta dan realiti yang sedang dan telahpun berlaku.
Sejak sekian lamanya penduduk Bumiputera Sarawak terutama dari suku Dayak yang mewakili kira-kira hampir 50% penduduk negeri ini dibelenggu dengan masalah Tanah Adat (NCR). Sehingga kini masalah tanah adat mencatatkan lebih dari 200 kes dan paling menggusarkan, ia mencatatkan peningkatan saban tahun. Walaupun isu ini telah lama wujud, persoalannya, mengapa kerajaan negeri di bawah pentadbiran Taib tidak begitu mengendahkannya.
Selain di atas nama pembangunan, mungkinkah jawapan di sebalik masalah Tanah Adat ini berada di balik isu pembalakan haram yang berleluasa. Isu pembalakan haram juga bukanlah sesuatu yang baru. Malah, dalang di sebalik syarikat-syarikat pembalakan ini juga dikaitkan dengan keluarga dan teman-teman Ketua Menteri Sarawak ini.
Isu pembalakan haram ini pula telah menyebabkan timbulnya isu-isu lain terutamanya yang melibatkan alam sekitar dan ancaman besar kepada penempatan masyarakat Dayak yang menjadikan hutan sebagai ruang penempatan dan sumber makanan. Begitu juga, ia telah mengancam populasi flora dan fauna yang telah hidup sejak lebih 130 juta tahun lampau. Kita juga telah digemparkan bagaimana samseng-samseng yang mewakili syarikat balak telah mencederakan Minggat Anak Nyakin dan anak lelakinya Juan Anak Minggat baru-baru ini berikutan bantahan mereka terhadap pencerobohan. Begitu juga dengan aduan ugutan yang dilakukan mereka terhadap penduduk kampung.
Isu Tanah Adat ini sebenarnya menyedarkan masyarakat kepada gesaan-gesaan agar diselesaikan segera. Kita juga harus mengetahui bahawa isu pencerobohan Tanah Adat ini selain melibatkan masalah pembalakan haram dan alam sekitar; ia telah membuka mata rakyat kepada persoalan-persoalan lain seperti mengapakah kerajaan negeri seolah membiarkan pencerobohan ini terus berleluasa?
Dalam isu Tanah Adat ini rakyat terus bertanya. Di manakah pihak-pihak berwajib dalam menguatkuasakan undang-undang? Di manakah peranan pihak Polis dalam menangani jenayah yang dilakukan oleh samseng-samseng pembalak ini? Apakah ada perlindungan diberikan kepada penduduk kampung yang diancam pencerobohan dan ugutan? Apakah ada campur tangan politik dalam isu pencerobohan tanah adat ini? Jelas, isu Tanah Adat ini benar-benar telah pun menjadi duri dalam daging pentadbiran Taib Mahmud.
Negeri kaya rakyat miskin
Tidak dapat dinafikan dalam tempoh 30 tahun memegang tampuk kuasa pemerintahan di Sarawak, kerajaan negeri di bawah Taib Mahmud telah berjaya membawa pembangunan dan pembaharuan. Kita juga sering dimaklumkan bahawa kerajaan telah memperuntukkan berbilion ringgit dari tahun ke tahun untuk projek pembangunan negeri dan sebagainya. Kita semestinya bersetuju. Malah pada tahun ini Sarawak memperuntukkan RM4.974 billion dalam belanjawannya. Sejumlah RM3.63 billion yang mewakili 73% daripadanya diperuntukkan untuk pembangunan manakala selebihnya RM1.344 billion untuk tujuan mengurus.
Pada masa yang sama, kita juga harus faham bahawa apa jua peruntukan itu adalah tanggungjawab siapapun yang menjadi kerajaan yakni menguruskan hasil mahsul negeri dan cukai-cukai yang diterima dari rakyat sendiri. Soalnya sekarang; bagaimana sejumlah peruntukan itu diagihkan dalam ertikata lain bagaimana wang hasil negeri diurus belanjakan? Apakah ianya dalam nisbah yang wajar atau sebaliknya?
Persoalan sebegini timbul kerana rakyat semakin celik. Lihat sahaja statistik pada tahun 2009, bagaimana sejumlah besar 70% penduduk rumah panjang masih belum menikmati bekalan air bersih, pada masa yang sama dibelenggu dengan masalah jalan raya dan elektrik yang serius walhal pendapatan negeri Sarawak ketika itu yang mencatatkan hampir RM3.726 bilion.
Walaupun kerajaan negeri tidak mengabaikan peruntukan kepada pembangunan luar bandar dalam program membasmi kemiskinan, mengapa masyarakat di luar bandar masih diselubungi kemunduran dan kemiskinan? Paling malang, isu ini telah menyelubungi rakyat Sarawak sejak puluhan tahun lamanya. Apakah fakta-fakta ini membenarkan bahawa telah berlakunya ketirisan dalam pelaksanaan program yang berkaitan. Isu ketirisan ini pula telah membawa kita kepada persoalan lain (persoalan dan terus persoalan!) iaitu apakah pentadbiran BN di Sarawak mengutamakan urus tadbir yang baik? Sekiranya baik, mengapa ketirisan berlaku?
Harapan Menggunung Bumi Kenyalang
Setelah kita ketahui sedikit sebanyak perkara melibatkan masalah-masalah utama di Sarawak, kita mungkin tertanya-tanya adakah pengundi di Sarawak untuk kali ini berani dan bersedia melakukan perubahan? Dan sekiranya ya, apakah perubahan ini bakal menjadikan Sarawak lebih maju dan baik?
Kempen pilihanraya pada kali ini benar-benar panas. BN menjanjikan pembangunan berterusan, PR pula memusatkan kempen kepada isu-isu integriti dan urus tadbir yang baik. Pada masa yang sama PR turut berjanji untuk menyelesaikan masalah-masalah domestik yang sedia ada.
Perihal apakah rakyat di Bumi Kenyalang ini bakal membuat kejutan masih tetap samar. Pelbagai kemungkinan boleh berlaku. Walau bagaimanapun, kita telah mengetahui betapa isu batang tubuh Taib Mahmud sahaja telah berjaya menarik perhatian rakyat untuk memperkatakan mengenainya. Malah telah wujud sentimen "anti-taib" yang tidak hanya berlaku kepada penyokong PR malah ia turut melibatkan sejumlah pengundi yang dilihat pro-BN sebelum ini.
Buktinya, lihatlah bagaimana ceramah Pakatan Rakyat mendapat sambutan luar biasa di kalangan masyarakat setempat. Fenomena ini sedang berlaku di mana-mana dan semestinya hal ini menggusarkan kepimpinan BN. Apa yang lebih menarik, PAS yang selama ini dipandang sepi di Sarawak mula mendapat tempat terutama di kalangan orang muda. Lebih-lebih lagi apabila PAS meletakkan calon-calon mereka dari kalangan golongan profesional dan wanita. Malah, hampir di mana-mana sekalipun, sambutan terhadap calon dan kempen Pakatan Rakyat mendapat respon positif. Berbeza dengan pilihanraya sebelum ini.
Mungkin, perkara ini boleh dijadikan kayu ukur dalam menilai kepekaan rakyat-para pengundi dalam mereka menilai sesuatu isu. Kehadiran sejumlah besar audien di majlis anjuran PR menjelaskan beberapa kondisi. Pertama, rakyat mahukan informasi alternatif. Kedua, pengundi di Sarawak telah berani menyatakan pendirian mereka. Secara peribadi saya seolah merasakan seperti wujud sebuah "tenaga" tertentu yang bakal mencipta sejarahnya tersendiri.
Paling penting adalah mulakan langkah pertama: ketahui sebab untuk berubah dan lakukannya. Lihatlah bagaimana keberkesanan pentadbiran Pakatan Rakyat di Selangor, Pulau Pinang dan Kedah. Good governance sebagai paksi utama dalam memastikan pentadbiran kerajaan berintegriti dan berkesan.
Apakah angin perubahan yang sedang bertiup di Sarawak ini mempunyai momentum yang sama sepertimana PRU 2008 yang telah kita lalui? Sesuatu yang hebat mungkin akan berlaku. Kita mengharapkan perubahan berlaku dalam ruang demokrasi yang adil dan telus demi masadepan kita semua: meniti hari-hari gemilang sebagai sebuah bangsa Malaysia yang demokratik dan progresif. Buat Taib dan BN, apakah masih ada jalan untuk membersihkan nama dan mempertahankan kuasanya?
Kononnya rakyat penting. Diutamakan. Sebab khidmat kepada si pengundi.
BalasPadamDi N. 6 Tupong seluruh orang Petra Jaya seksa oleh Daud Abdul Rahman ...
n-6-tupong-rakayt-tidak-didahulukan.html